Percaya !

Updated: Feb 24, 2019


Diadaptasi dari kisah benar.


“Bang!!! Bang”

“Aduh batal lagi.” keluh salah seorang guru. Macam mana ni cikgu? kita kehilangan emas lagi. Ini kali kedua kita dikira batal. Makin tipis la peluang kita mahu johan keseluruhan pada tahun ini. Sudahlah atlet tu berpotensi mendapat pingat emas. Terlepas pula.



“Tak mengapa. Masih ada lagi 2 acara.” ujar Cikgu Maximum. Namun di dalam hati, hanya Tuhan saja yang tahu perasaaan gemuruh ini. Di tangan guru tersebut masih memegang sigup, dihembus perlahan. Tapi kelihatan tangannya sedikit menggeletar. Cepat-cepat dia sembunyikan tangan di belakang tangan sebaik saja sedar aku memerhatikan tangannya.


“PANGGILAN AKHIR UNTUK PESERTA 4X200 METER PEREMPUAN AKHIR!” sebaik sahaja refree blilik panggilan memanggil pelari perempuan, 6 orang budak perempuan bergegas ke arah jurulatih mereka. “Cikgu, selepas ni giliran kami. Kami takut…..” jelas di wajah budak perempuan itu menunjukkan mereka gusar selepas apa yang terjadi kepada rakan seperjuangan mereka sebentar tadi. Sebagai jurulatih, Cikgu K tau dia tidak boleh menunjukkan riak wajah yang membimbangkan. “Jangan takut. Latihan kamu sudah cukup. Cikgu percaya kamu boleh buat.” “Kami masih lagi di sini bersama kamu semua. Kami masih belum berputus asa jadi kamu pun janganlah berputus asa. Kami masih percaya pada kamu semua.” tambah lagi seorang guru. PERCAYA. Itulah perkataan yang sering diterapkan dalam diri setiap atlet. Setiap hari juga diulang agar mereka sentiasa ingat.


“Ke garisan…… sedia…….. BANG!” Riuh seluruh stadium bergema menyokong atlet daripada sekolah masing-masing. Guru-guru sekolahku juga tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan acara ini. Pelari pertama bermula dengan baik namun agak ketinggalaan sedikit di belakang. Tiba-tiba sesuatu yang tidak dijangka berlalu. Aku bersumpah inilah kali pertama aku melihat peristiwa paling bermakna ini. Sebaik menerima baton, pelari kedua daripada sekolah kami memecut ke hadapan memotong semua atlet daripada sekolah lain. Suasana semakin riuh. Semakin kuat sorakan yang diberikan kepada atlet sekolah kami apabila pelari ketiga dan keempat bertukar baton. Akhirnya sebaik saja pelari terakhir memijak garisan penamat … EMAS!!!! YAAAHHHH!!! EMASS!!!! Kesemua guru daripada sekolah kami melonjak kegembiraan apabila atlet itu memberikan 1 lagi pingat emas kepada kontinjen sekolah. Menangis para atlet itu tanda tidak percaya. Segera rakan-rakan mereka yang lain turun memeluk mereka. Perjuangan masih belum selesai. Ada satu lagi acara yang akan dipertandingkan.

“PANGGILAN AKHIR UNTUK PESERTA 4X200 METER LELAKI AKHIR” suara itu kembali kedengaran memanggil pelari lelaki pula. Sekali lagi Cikgu K memberikan nasihat. “Cikgu percaya kamu boleh buat. Rakan kamu baru saja membuktikan mereka boleh. Kelmarin mereka ada membuat kesilapan tapi hari ini mereka masih percaya mereka boleh lakukan. Sekarang giliran kamu pula membuktikan. Kamu mesti percaya pada diri kamu.” aku sekadar mampu memerhatikan Cikgu K. Tangannya jelas menunjukkan dia gementar tapi disembunyikan di belakang badan.

“KE GARISAN…. SEDIA… BANG!” bunyi tembakan sudah kedengaran. Kesemua guru naik ke podium untuk menyokong atlet lelaki sekolah kami. “Saya tak sanggup mahu melihat ni, Cikgu Y.” “Jangan risau, Cikgu K. mereka boleh buat” ujarku tenang. Sekali lagi pelari pertama kami ketinggalan. Gigih dia mengejar atlet lain kerana dia percaya dia boleh lakukan. Sebaik bertukar baton, sekali lagi keajaiban berlaku. Pelari kedua daripada sekolah kami memotong semua atlet daripada sekolah lain sekaligus memastikan pingat emas milik sekolah kami. Kami tidak menyangka ini yang terjadi. Ku lihat jurulatih, pengurus dan kesemua guru berlari turun ke bawah meraikan kemenangan mereka. Air mata bercucuran di pipi setiap atlet tersebut. “Cikgu….. kami….. emas… terima kasih… percaya kami” teresak-esak atlet tersebut. Tidak mampu menyebut ayat Bahasa Melayu penuh seperti yang diajar di dalam kelas. Ada yang terduduk tidak mampu berkata apa-apa. Segera dipeluk oleh rakannya yang lain minta bertenang. Cikgu R juga menitikkan air mata. “Kami yang patut berterima kasih kerana kamu menghadiahkan pingat emas ni. Terima kasih…. banyak-banyak” ucap guru tersebut.



Segera beliau mengesat air mata. Malu barangkali menangis di hadapan rakan-rakan guru yang lain. Aku hanya berdiri sedikit ke belakang. Malu juga kalau aku pun turut menangis. “Kan saya bilang. Percaya saja pada mereka.” ucap Cikgu Maksimum disebelahku tenang. PERCAYA….. itulah kata azimat yang dipegang oleh setiap guru dan atlet sepanjang kejohanan ini.




Nukilan - Yusree Jumpaan



135 views

Hak Cipta Terpelihara ©  2018-2020  SK Pekan Telupid [No Tel:089-521730] segala kandungannya termasuk maklumat, teks, imej, grafik, fail suara, fail video dan susunannya serta bahan-bahannya ialah hak milik SK Pekan Telupid kecuali dinyatakan sebaliknya. Tiada mana-mana bahagian portal ini boleh diubah, disalin, diedar, dihantar semula, disiarkan, dipamerkan, diterbitkan, dilesenkan, dipindah, dijual atau diuruskan bagi tujuan komersil dalam apa bentuk sekali pun tanpa mendapat kebenaran secara bertulis yang jelas terlebih dahulu daripada SK Pekan Telupid

  • w-facebook
  • Twitter Clean
  • w-googleplus
This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now